November 21, 2013
INTERESTING UNIVERSITY EVENT FOR (END OF 2013)
November 03, 2013
Think out of box (Fikir luar kotak)
"Sebagai seorang saintis bagaimana kamu akan menyelesaikan masalah ini (untuk memastikan bahawa tiada kotak sabun yang kosong) dengan cara yang paling mudah dan murah ???"
Sumber : UM Lecture of Introduction to Science and Technology,2013 September.Dr Sh.Mohd Saifuddeen Sh.Mohd Salleh
October 12, 2013
Cerpen #1 - Uhibbukifillah
Lambat-lambat aku menyahut, “Waalaikumsalam. Herm..duduklah.”
Dia segera mengambil tempat di sebelahku. Pelik juga dia datang ke sini. Kenapa tak duduk dengan kawan-kawan biasanya, aku mengomel dalam hati. Tapi perasaan itu malas ku layan lalu ku teruskan juga dengan tugasan di tanganku.
Dia buat kerja dia. Aku buat kerja aku.
Hampir setengah jam begitu. Sepi mengisi ruangan meja bulat itu.
“Mia, boleh aku tanya sikit?” tiba-tiba dia membuka mulut memecahkan kesunyian. Kepalanya langsung tidak ditolehkan ke arahku.
“Kau memang dah tanya dulu pun. Apa dia?” sinis aku memerlinya. Seperti biasa, malas melayan orang yang aku tidak rapat itu.
“Ada orang kata, kau takut cakap dengan aku. Betul ke?”
Terkedu aku mendengar soalan yang langsung tak terjangkau dek akalku itu. Pelik. Macam mana boleh timbul soalan macam tu? Apa muka aku ni nampak macam seorang pengecut ke yang senang-senang takut kepada orang? Sebetulnya aku yang rasa orang takut pada aku, bukan sebaliknya.
“Apa kau kata? Ulang balik soalan tu,“ Mataku tepat memandang ke arahnya. Sengaja aku suruh dia ulang soalan tadi. Boleh jadi aku sendiri yang tersilap dengar.
“Eh, tak ada apalah! Lupakan saja,” cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya daripada aku. Seakan-akan cuba menyembunyikan sesuatu daripadaku…
Peristiwa yang berlaku semasa aku di tingkatan 2 itu, boleh dikatakan perbualan pertama kami secara rasminya. Kami memang rakan sekelas, tapi amat jarang aku bercakap dengannya. Pada awal pertemuan dengannya awal tahun itu, aku berasakan perangai aku dan dia bagai langit dan bumi. Dia suka bercakap, aktif dan mudah mesra dengan orang. Aku pula kurang bercakap, kurang aktif, kurang dikenali dan sukar bergaul mesra dengan orang.
Tapi sejak ‘perkenalan pertama’ kami di meja bulat tempoh hari, kami mula bersahabat. Daripada tidak rapat, lama-kelamaan kami bertambah akrab. Sampai satu tahap kawan-kawan lain selalu tersilap panggil nama kami berdua. Dialah Syifa’ – sahabat yang aku maksudkan tadi.
Orang kata, tak kenal maka tak cinta.
Tapi bagi aku, tak kenal maka ta’aruf.
Selepas kami berta’aruf selama hampir 4 tahun, barulah kami saling mengenali antara satu sama lain.
Bila dinilai satu persatu, sebenarnya terlalu banyak titik persamaan kami. Aku fikir, titik persamaan atau minat yang sama itulah yang membuatkan kami rapat masa zaman sekolah ini.
Jujurnya, kami memang sukar berenggang di sekolah. Di mana ada aku pasti ada dia. Bila tiada Syifa’ di sisi itu bukan Mia namanya. Aku yang pada mulanya tidak mengerti dengan peribahasa ‘ibarat belangkas’ kini mengerti apabila orang selalu sebut-sebut tentang aku dan dia menggunakan istilah itu.
Detik-detik kami bersama ku rasakan begitu bahagia. Namun yang indah itu tidak selamanya bahagia. Yang ceria itu tidak selamanya tertawa bergembira.
Begitulah hukum alam yang tidak mampu ditolak.
Pernah suatu ketika semasa kami di Tingkatan Lima, Syifa’ mengalami konflik terbesar dalam hidupnya. Dia berasakan dirinya dipinggirkan kawan-kawan satu batch. Aku sendiri jadi bingung bagaimana hal itu boleh terjadi. Sampai satu tahap, dia jadi seorang yang sangat pendiam. Dengan aku juga begitu.
Selama beberapa hari aku mendiamkan diri, tidak bertanya hal-hal peribadi kepada dia. Takut soalanku akan mengganggu emosinya ketika itu. Tiba-tiba satu hari aku menerima panggilan telefon daripadanya.
“Mia, sorry ganggu kau malam-malam ni. Boleh kita bercakap sekejap?” lemah suaranya aku dengar dari arah sana. Kedengaran seperti orang yang telah putus harapan hidup.
“Sure, Ipa. I can be your ear tonight,”
Dan dari situ aku dengar segala keluahan, rintihan dan perasaan yang disimpannya selama ini. Walau dia cuba bersembunyi, aku terdengar esak tangisnya berbunyi halus dari corong telefon. Dan seperti yang aku janji pada mulanya, aku hanya ingin menjadi ‘telinga’. Sampai masanya dia berhenti bercakap, barulah aku akan membuka mulut pula.
“Aku tahu, Ipa. Aku faham perasaan kau walaupun aku bukan di tempat kau sekarang,” tenang aku menuturkan. Berharap agar dia juga dapat menenangkan dirinya untuk seketika.
“You see….tak semua orang akan suka apa yang kita buat sungguhpun kita buat benda betul. Sebab tu, daripada kita cuba puaskan hati semua orang, lebih baik kita puaskan hati sendiri dan yang paling utama, puaskan hati Allah. Allah tu kan Tuhan Yang Membolak-balikkan hati manusia…” aku berusaha menyampaikan apa yang aku fikir. Sebenarnya, aku sendiri tidak pandai memujuk orang.
Kali ini aku mendengar keluhan panjang daripadanya. Keluhan yang cuba melepaskan segala yang tersarang lama di dalam hati.
“Pasti ada hikmah di sebalik semua ini, kan Ipa?” ya, itulah yang orang akan cakap setiap kali ditimpa musibah. Kata-kata yang bukan menyalahkan takdir, tapi lebih kepada menyerahkan takdir kepada Ilahi. Itu namanya bersangka baik pada Allah.
“Mungkin kau betul, Mia,” akhirnya dia menyahut setelah agak lama terdiam di hujung talian.
Aku tidak memaksanya untuk meluahkan semua yang dipendamkannya. Aku yakin, bila tiba masanya dia pasti akan mencari aku menceritakan masalahnya. Itulah gunanya sahabat, fikirku.
“Mia, thanks. Terima kasih sebab kau sudi dengar. Aku tahu aku dah banyak sangat cakap malam ni. Sampai ganggu masa studi kau pulak tu. Sorry banyak-banyak ye, Mia,” ya, hampir sejam kami berborak di dalam talian sampai tak sedar waktu berlalu. Tapi itu semua tidak menjadi masalah buatku, asalkan dapat membantu sahabatku yang satu ini.
“Apa thanks, sorry segala bagai ni? Tak mainlah benda-benda tu semua. Kata sahabat….” Aku membega-begakan wajah. Aku tahu dia tak nampak, tapi tetap melakukannya. Lalu ku terbayang dia senyum apabila mendengar tawa kecilnya di telingaku.
“Baik, boss!”
**************************
Sampai masanya, aku pergi meninggalkan keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat yang disayangi.
Tahun pertama bukanlah tahun yang mudah buatku. Berjauhan dengan orang yang aku akrab selama ini membuatkan aku mudah patah semangat dan kecewa. Susah bagi aku menyesuaikan diri dengan suasana baru ini.
Tapi aku bersyukur. Dalam kepayahan melewati hidup berdikari di sini, masih ada orang di Malaysia yang ambil berat akan diri ini. Yang tidak putus-putus menembak doa dari jauh. Yang tidak pernah lelah memberikan aku semangat agar terus bertahan. Syifa’ juga salah seorang yang begitu prihatin kepadaku. Nyata dia berbeza dengan rakan-rakan yang lain yang entah ke mana menghilang sejak masuk ke alam kampus dan universiti ini.
**************************
“Wah, taiko lawa lah hari ni. Ada apa-apa ke?”
Natrah dan Hawani memandangku dari atas ke bawah seperti baru melihat makhluk asing mendarat ke bumi. Pelik sangat ke aku berpakaian hari ini, aku berkira-kira dalam hati.
“Kalau macam ni tak boleh panggil taiko. Kena panggil benda lain. Nak panggil apa ye, Ha?” Natrah berpaling menyoal Hawani yang masih terpinga-pinga memandangku.
“Macam mana kalau Puteri Kayangan?” cadang Hawani. Natrah sudah terkekeh-kekeh mendengar jawapan Hawani itu. Aku sekadar menggeleng melihat ulah dua sahabat itu.
Ada sahaja benda yang mereka usikkan. Pantang jumpa mereka berdua, tak sah kalau aku tak kena usik.
Biasa mereka panggil aku ‘taiko’ – sebab perangaiku yang agak kasar dan ganas kadang-kala. Sekarang bila tukar penampilan sikit – sebenarnya nampak lain hari ni pun sebab pinjam baju ahli bait aku, si Aida yang memang pandai bergaya tu – dah diberi gelran Puteri-entah-dari-kayangan-mana pulak tu. Aneh-anehlah mereka ini.
Aku terpaksa berpakaian agak lain pada hari itu pun disebabkan menghadiri satu acara formal di luar - Majlis Makan Malam anjuran PERUBATAN Cawangan Al-Azhar. Majlis ini memang acara gilang-gemilang yang akan diadakan saban tahun. Ini adalah kali pertama aku menghadirinya, setelah bergelar pelajar Tahun 2 Perubatan Universiti Al-Azhar. Pelajar-pelajar Malaysia jurusan perubatan dan pergigian daripada universiti ini baik lelaki atau perempuan, semuanya dialu-alukan untuk turut serta ke majlis ini. Dalam pada masa yang sama, pelbagai persembahan disajikan di atas pentas bagi memeriahkan majlis pada malam itu.
Dan pada hari ini juga, aku diamanahkan satu tugasan – menjadi AJK Media. Seperti biasa, tugas aku ialah mengambil gambar dan momen-momen penting sepanjang majlis berlangsung di dalam dewan tersebut. Tugas ini, bukanlah tugas asing bagi aku, malah aku memang menyukainya sejak dulu.
Sejak dulu…
Sejak aku mengenali Syifa’, dialah yang menjadi ‘punca’ kepada minatku yang satu itu.
“Wei, lawalah kau tangkap gambar ni. Dekat mana ni?” aku memegang kamera DSLRnya sambil menunjuk kepada gambar yang berada di skrin kamera itu.
Tapi itu kisah dulu. Ketika dia masih di sisiku. Sekarang aku melakukannya sendiri. Jauh daripada dia yang beribu batu entah di mana ketika ini.
Eh, kenapa tiba-tiba aku terfikirkan dia? Adakah ini rindu?
Cepat-cepat aku teruskan kerjaku. Enggan melayan perasaan sentimentalku itu.
Aku membuka inbox Facebook aku. Membaca semula mesej-mesej yang pernah aku kirimkan kepada Syifa’ sejak dua tiga bulan yang lalu. Aku memandang sepi inboxku. Kenapa Ipa tak balas mesej aku? Sibuk sangatkah dia sampai tak sempat melihat satu pun. Nak tengok dia online lagilah susah. Atau sebenarnya dia sudah lupakan aku?
Aku mengeluh panjang. Perasaan buruk itu cepat-cepat aku lempar jauh-jauh. Astaghfirullah…
“Nanti dah sampai sana, jangan lupa contact aku selalu tau. Facebook ke, Skype ke..nak emel pun tak pe,” teringat pesanannya kepadaku pada pertemuan terakhir kami pada pertengahan tahun lalu. Sudah hampir setahun setengah aku tidak bersua muka dengannya. Kini khabarnya pula yang semakin terbang pergi menjauhiku di bumi anbiya’ ni.
Entah bagaimana hidupnya di sana, aku sendiri tidak tahu. Hanya rindu yang mampu ku pendam sehingga kini.
Oh, no! That’s not totally me. Mana mungkin aku melakukannya. Urgh…Well said is easier than well done, I thought.
But now, I think to say ‘it’ is not that easy too.
Aku menggeleng-geleng sendiri. Dah malas memikirkannya, aku buka buku Anatomy. Ulangkaji pelajaran lagi baik.
********************
Seminggu selepas aku pulang ke Malaysia, aku mengambil keputusan menziarahi sahabat lama yang amat aku rindui. Hati ini melonjak-lonjak ingin tahu khabar dia bagaimana, lalu aku merajinkan diri bertandang ke rumahnya pada hujung minggu itu.
“Assalamualaikum…Syifa’. Oh, Syifa’.” Lama kubiarkan salamku itu, namun tidak disambut sesiapa dari dalam rumah. Selang beberapa minit selepas itu, daun pintu tiba-tiba berkuak. Wajah Puan Rosnah muncul di ambang pintu.
“Waalaikumsalam. Oh, Mia! Bila balik Malaysia ni? Nak jumpa Syifa’ ya?” emak Syifa’ menyambut mesra kedatanganku seperti biasa.
“Dah seminggu balik, mak cik. Syifa’ ada di rumah?”
“Ada. Dalam bilik. sekejap mak cik panggilkan dia keluar ya,” belum sempat Puan Rosnah berlalu untuk memanggil anak daranya itu, cepat-cepat aku memintas.
“Tak apalah mak cik. Saya nak buat surprise untuk dia. Boleh saya masuk bilik dia terus?” aku meminta kebenaran masuk ke bilik Syifa’. Puan Rosnah akhirnya mengizinkan.
Sampai di depan bilik Syifa’, aku mengetuk pintunya perlahan-lahan. Hatiku girang. Tak sabar nak buat kejuatan buat orang yang sudah lama aku rindui.
“Mak ke tu? Masuk ajelah, mak.” Timbul tenggelam aku terdengar suaranya dari dalam. Perlahan-lahan aku memulas tombol pintu biliknya lalu menolak daun pintu.
Suasana bilik itu gelap. Hanya ada satu sahaja sumber cahaya di dalamnya. Berhampiran katil aku lihat cahaya lampu meja itu menyala.
“Assalamualaikum,” perlahan-lahan aku mengatur langkah menuju ke katilnya. Aku lihat dia terbaring di sana. Dia tidurkah? Aku menyoal di dalam hati.
“Siapa tu?” dalam kesuraman cahaya bilik itu pastinya dia tidak mampu melihat wajahku. Lalu, ku dekati lagi tubuhku menghampiri dia.
Kali ini aku yang terbejat. Terkejut melihat wajahnya yang pucat lesi. Badannya kurus kering mengalahkan aku. Hampir sahaja aku tidak mengenalinya.
“Ya Allah, Mia. Kau ke tu?” Akhirnya, dia melihat aku. Dia melihat mukaku yang terkejut seperti baru melihat hantu.
Aku mengangguk. Entah dia nampak entah tidak. Aku melabuhkan punggungku di atas katil empuknya. Dia membetulkan sandaran pada kepala katil.
“Kau apa khabar, Mia?”
Aku terkedu. Sepatutnya aku yang bertanya khabarnya dulu. Dia nampak sakit. Bukan sakit biasa aku rasa.
“Alhamdulillah, sihat. Kau?”
Dia tersenyum. Lambat-lambat dia menyahut soalanku.
“Aku macam inilah keadaannya. Sakit-sakit sikit. Tapi Alhamdulillah.. nampak kau datang ni aku rasa sihat pula. Bila kau balik ni? Tak bagitahu aku pun,” dia buat nada merajuk.
‘Aku bagitahu, Ipa. Kau yang tak check mesej aku bagi,’ jawabku dalam hati.
“Kau….sakit apa?” tanpa mempedulikan soalannya tadi, aku malah bertanya. Melihatkan keadaan dia yang pucat dan lemah itu aku jadi serba-salah. Tapi hati ini tertanya-tanya apa yang sudah berlaku selama ini.
“Sakit sikit je, Mia. Kejap lagi sihat la ni. Macam kau tak biasa pulak,” dia mengoyakkan senyuman paksa.
Aku menyentuh dahi dan tangannya. Suhu badannya agak normal, jadi dia bukan demam. Begitulah telahanku.
“Eh, kau dah kenapa? Tahulah kau student Medic, tak payahlah jadikan aku bahan uji kaji kau,” sinis dia bergurau. Pelik barangkali dengan ulahku yang persis seorang doktor itu. Aku tersengih-sengih malu.
“Aku nak check kau ni demam ke apa. Kalau kau tak demam, kau sakit apa? Pucat semacam je aku tengok. Badan ni kurus sangat dah kenapa? Ni bukan sakit biasa, tau,” aku membebel seperti gaya seorang ibu.
Dia tertunduk membatukan diri barang seketika. Tiba-tiba dia terbatuk-batuk. Kasar bunyinya. Seperti batuk kering. Cepat-cepat aku hulurkan botol air yang ada di atas meja sebelah katilnya. Dia meneguk sampai hilang rasa kering tekaknya. Botol tadi kemudian diletakkan semula ke tempat asalnya.
“Ipa, aku bawa sourvenir dari Mesir ni. Mesti kau suka,” beg kertas bercorak teddy bear comel ku hulurkan kepadanya. Sengaja mahu menukar topik dan menceriakan suasana. Dia membelek-belek isi beg tersebut lalu tersengih.
“Unta?” sepatah dia menyoal. Aku tergelak mendengar soalannya yang bagai tidak percaya itu.
“Mesirkan memang sinonim dengan unta. Kau tak suka?” aku memegang unta mainan bersaiz sederhana itu. Boleh juga bawa tidur kalau suka, fikirku sendiri.
“Haha,” gelaknya sepatah. “Unta pun untalah. Aku tak kesah. Thanks, Mia,”
“Tak ada hal punya. Lepas ni kalau kau rasa nak jalan-jalan ke Mesir naik unta, bagitahu aku. Aku sedia jadi tour guide kau,” aku memberikannya tawaran hebat. Dia hanya tersenyum menyambut tawaranku.
“Manalah aku mampu ke sana, Mia. Pelajaran aku di sini pun belum selesai lagi. Keadaan aku sekarang ni pun tak mengizinkan aku buat banyak perkara. Apa-apapun, terima kasih atas tawarannya,” balasnya lemah. Aku tidak tahu untuk berkata apa-apa lagi.
‘Kau sakit apa sebenarnya ni, Ipa? Kenapa kau tak nak berterus-terang dengan aku? Salahkah aku untuk meringankan beban yang kau tanggung sekarang?’ aku kini bermain dengan emosi sendiri. Soalan itu tidak mampu ku luahkan di hadapan Syifa’. Aku kasihan melihatnya lemah tak berdaya.
Tidak lama selepas itu, aku memohon untuk mengundur diri. Memberi alasan tak dapat berlama-lama di rumahnya, kerana aku ada urusan di luar. Hakikatnya, aku mahu membiarkan dia berehat. Tak guna aku berlama-lama di situ untuk mencari jawapan daripadanya. Setelah itu, kami berpisah lagi.
Sebelum keluar daripada rumahnya, aku bertemu Puan Rosnah untuk bertanyakan hal sebenar. Susah emaknya untuk membuka mulut pada awalnya, namun aku berjaya memujuknya.
*******************
Aku pernah belajar tentang penyakit ini sedikit semasa di Tahun 1 dulu. Yang aku tahu, Bronkitis ialah sejenis keradangan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru manusia. Orang yang ketagihan merokok berisiko tinggi dijangkiti penyakit ini.
Tapi aku tahu, Syifa’ tidak pernah merokok. Seingatku, ayahnya dulu perokok. Sekarang aku tidak tahu sudah berhenti atau belum tabiat merokoknya itu. Boleh jadi itulah punca Syifa’ terkena penyakit radang itu.
Walau bagaimanapun, aku tahu ini aturan Allah. Dia dapat penyakit itu sebab Allah dah takdirkannya begitu. Sebab Allah tahu dia kuat menghadapinya. Aku teringat Allah berfirman dalam Al-Quran, mafhumnya :
‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.’
Sebagai sahabat, aku mengerti keperitan yang ditanggungnya. Patutlah dia tidak menghubungi aku selama beberapa bulan sebelum ini. Dia sakit dan terpaksa menghentikan pengajiannya buat beberapa ketika. Sedihnya, perkara itu malah dirahsiakan daripada kawan-kawannya, termasuklah aku. Dia tak mahu aku risau mungkin.
Selepas aku tahu keadaan sebenarnya, aku sering melawatnya di rumah. Aku menawarkan bantuan untuk menjaganya pada setiap hari Isnin dan Khamis, dengan alasan bosan duduk di rumah seorang diri. Alhamdulillah..aku lihat dia semakin bersemangat. Dah tak terperuk dalam biliknya yang gelap seperti sebelum ini.
Kasihan aku melihat dia kurang berselera makan, aku menawarkan diri untuk masak makanan yang sedap-sedap untuknya. Aku paksa dia habiskan. Walaupun aku tahu makanan itu tidak sesedap mana, tapi dia berusaha makan kerana tidak mahu menghampakan aku. Aku gembira melihat strategiku berjaya.
Suatu hari, aku membawanya ke taman permainan berhampiran rumahnya. Aku tahu, dia sudah terlalu lama terperap di dalam rumah. Sudah tiba masanya dia keluar menghirup udara yang nyaman lagi segar. Paling tidak, cara ini dapat membantu memulihkan saluran pernafasannya yang bermasalah itu.
Sedang kami duduk-duduk di bawah pokok kelapa sambil memandang budak-budak lelaki bermain bola di padang, dia tiba-tiba bersuara.
“Mia, kau rasa penyakit aku ni boleh bawa mati tak?”
Terkedu aku mendengar soalan luar alam si dia. Lama ku tenungnya menanti jawapan.
“Kau rasa, masa aku tengah tengok budak-budak tu main bola di sini aku boleh mati tak? Ada tak kemungkinan aku akan mati sekarang?” satu soalan aku kembalikan kepadanya. Soalan itu berbaur sarkastik tapi menuntut dia untuk berfikir akan maksudku.
“Kalau ikut logik memang tak lah. Tapi kalau ikut kuasa Allah, mungkin boleh,” ragu-ragu dia menjawab soalanku.
“Dah tu, soalan kau terjawab ke?”
Dia mengerutkan dahi. Belum mengerti mungkin.
“Ipa, kau fikir penyakit kau tu sampai ke tahap boleh bawa mati ke?” aku sekadar menduga. Kalau ikut apa yang aku kaji dan apa yang doktor yang merawatnya cakap, penyakitnya tidak membawa maut. Cuma, dia akan mengalami beberapa komplikasi yang teruk jika tidak dirawat sebaik mungkin.
“Mungkin. Tapi aku bersyukur sebab aku sakit. Bersyukur sebab Allah bagi aku rasa sakitnya untuk terus hidup. Buatkan aku bersyukur dengan kesihatan yang Allah pernah bagi pada aku sebelum ni,” ujarnya sambil mengalihkan pandangan ke arah anak-anak kecil yang sedang bermain buaian di taman permainan sebelah padang bola itu.
Aku kagum mendengar hujahnya. Bangga melihat semangatnya.
“Baru aku tahu sakit tu rupanya nikmat. Dan sihat tu ada kalanya merupakan musibah,” katanya penuh kias.
“Masa sakit ni kita lebih ingat mati, ingat Allah, ingat orang-orang yang kita sayang. Masa-masa kita lebih banyak terisi dengan berdoa, beribadah, berzikir dan baca Al-Quran. Berbanding bila kita sihat, banyak benda lagha yang kita buat antara sedar atau tidak. Dan benda-benda itu hanya menambahkan dosa kita malah menjauhkan kita daripada Pencipta,”sambungnya menjawab persoalanku tadi.
Aku mengangguk-angguk setuju. Sangat berasas hujahnya itu.
Aku tak sangka, sakit yang dialaminya ini mengubah dirinya – menjadi lebih dekat dengan Allah. Tak dinafikan, sekarang dia banyak menghabiskan masa dengan membaca Al-Quran di dalam kamarnya selain membantu emaknya di rumah kadang-kala. Aku gembira dengan perubahannya.
“Ipa, kalau aku mati dulu jangan lupa doakan aku, ya,” kataku penuh makna.
Kali ini dia yang terkejut. Kenapa aku pulak yang kata begitu padahal dia yang sedang sakit?
“Sebab aku tak tahu antara kita siapa yang pergi dulu. Mungkin juga aku yang sihat ni boleh pergi dulu, kan?”
Gilirannya pula mengangguk setuju kata-kataku.
“Insyaallah, Mia. Aku tak akan lupa doakan kau selagi kau hidup apatah lagi kalau kau pergi dulu nanti. Aku juga harapkan hal yang sama daripada kau. Doakan juga aku kuat menempuh semua ni dan Allah izinkan aku sambung belajar macam dulu,” dia tersenyum-senyum seperti membayangkan sesuatu.
Pasti, Ipa. Pasti aku doakan kau. Malah lebih dari itu aku akan doakan. Aku selalu berharap agar boleh bersama-sama dengan kau pada hari-hari yang mendatang. Tapi itu semua aku serahkan kepada Allah, Sebaik-baik Perancang.
“Ipa…” panggilku.
Dia menoleh memandangku.
“Jangan pernah lupa satu perkara ni,” kataku separa berbisik.
“Apa dia?”
“WaAllahi, Aku rindu kau. Uhibbukifillah, Syifa’,” aku senyum memandangnya. Dan senyumku berbalas.
“Apa dia? Aku tak dengar,” dia tersengih-sengih. Pantas peha kirinya ku cubit manja. Sengaja suruh aku ulang ayat tadilah tu.
‘Aku sayang kau kerana Allah, Syifa’.’
Moga Allah berkati persahabatan kita hingga ke Syurga-Nya.
Kisah ayam dan bekas paderi kristian
"Beza kau dengan aku pada lutut.Lutut kita Allah jadikan berbeza.Lutut aku Allah jadikan ke belakang sedangkan lutut kau Allah jadikan ke depan.Kau perasan tak ?"
October 06, 2013
Fasa baru kita
September 06, 2013
Ciptaan yang diuji..
Manusia dicipta untuk beribadat kepada Allah swt..
Manusia dicipta untuk menjadi khalifah..
Manusia dicipta untuk menjadi hamba kepada Allah swt..
Namun, melalui penciptaan ada ujian.. Ya, Allah memberi ujian kepada manusia apabila hadir di muka bumi ini..
Tak kira islam atau kafir, semuanya diberi uji..
Orang Islam diuji untuk menambah keimanan,
Orang Kafir diuji untuk menambah kekufuran..
Ujian Allah berbeza dalam kalangan manusia..
Ada yang besar ada yang kecil,
Ada yang susah ada yang mudah,
Hmmm terlalu banyak untuk dikata..
Bila diberi ujian, sabarlah..
Allah sedang mendidik kita untuk pasrah hanya kepada-Nya..
Bila ditimpa musibah, muhasabahlah.. Mungkin itu bala dari Allah atas perbuatan kita..
Ingatlah ungkapan ini :
"Musibah adalah ujian tetapi ujian itu belum tentu musibah"
Justeru, kita dicipta untuk diduga oleh-Nya.. Untuk apa?? Kembali kepada yang asas.. Ertinya, tujuan penciptaan kita..
Menjadi abid, khalifah dan hamba kepada-Nya!
#LuahanJiwa #KongsiRasa ^_^
September 04, 2013
Takut mati?? Hmm..
"Setiap jiwa pasti merasai mati"
Itulah yang tertulis dalam kitab suci umat islam. Setiap makhluk yg bernyawa telah ditakdirkan akan mati di dunia ini.
Seperti biasa, apabila terdapat kematian, menjadi sunnah nabi sebagai ikutan kita untuk menziarahi ahli keluarga si mati. Namun, apa yang menghairankan ada juga yang takut menziarahi kerana takut melihat jenazah yang akan kembali ke tanah.
Anehnya pula ada yang takut dengan balutan kain kafan putih suci si mati. Seakan-akan 'hantu pocong' dalam filem dan drama. Adakah ini penangan yang menjadi pukauan bagi si insan(takut 'mati') kelak(bakal mati)?
Mengapa kita perlu takut melihat kematian orang? -tiada alasan!
Wahai teman, ingatlah bahawa mati bukan ditakuti tapi bagaimana menghadapi.
Jika kita takut dengan 'kematian orang' bagaimana pula dengan kematian kita kelak?
Bagaimana kita nak hadapi kematian sendiri jika begitu keadaannya? Kita semua akan mati. Benar bukan?
Justeru mati bukan untuk ditakuti tapi bagaimana(bekalan kita) menghadapi. Kalau takut mati risau hati juga akan mati(lupa akhirat).
Beringatlah, hidup itu mesti mati itu pasti !